Latar Belakang

Yayasan Al Sultan Abdullah

 

Yayasan Al Sultan Abdullah (YASA) sebuah badan amal dan bukan beroerintasikan keuntungan, diasaskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan anakanda-anakanda Seri Paduka Baginda Tuanku berdua.

 

Ditubuhkan pada 11 September 1996 dan sebelumnya dikenal sebagai Yayasan Istana Abdul Aziz (YIAA), ia bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik melalui inisiatif pendidikan, agama dan penjagaan kesihatan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat mementingkan hubungan Seri Paduka Baginda dengan rakyat dan dizahirkan melalui aktiviti kebajikan dan turun padang. Ia merupakan legasi yang ditinggalkan oleh ayahanda Seri Paduka Baginda iaitu Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

 

 

Pusat Hemodialisis Yayasan Al Sultan Abdullah

 

YASA telah menambah objektifnya untuk memperluas jangkauan dan ruang lingkup bantuannya kepada rakyat Malaysia melalui penubuhan pusat hemodialisis di seluruh negara. Seri Paduka Baginda menyedari bahawa masih ramai pesakit buah pinggang kronik dari Kumpulan B40 dan M40 yang memerlukan bantuan untuk rawatan dialisis.

 

Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pesakit yang memerlukan
dialisis pada masa ini melebihi 40,000 dengan 7,000 pesakit baru memerlukan rawatan setiap tahun. Kegagalan buah pinggang kronik adalah keadaan yang boleh membawa maut kecuali melalui pemindahan buah pinggang, atau jika pesakit menjalani dialisis.

 

Inisiatif yang dilakukan oleh YASA ini selain membantu rakyat yang kurang berkemampuan, ia juga akan membantu pihak Kerajaan dalam menyediakan fasiliti kesihatan melalui penubuhan pusat hemodialisis ini. YASA mensasarkan untuk menubuhkan seberapa banyak pusat hemodialisis berdasarkan keupayaan sumber yang dimilki oleh YASA serta sokongan daripada badan korporat dan individu.

 

Sehingga kini, dua buah Pusat Hemodialisis YASA telah dibuka di Lembah Klang iaitu di Cheras (2019) dan Setiawangsa (2020). Sebuah lagi Pusat Hemodialisis YASA akan dibuka di Pekan, Pahang pada bulan Mac 2021. YASA juga merancang untuk membuka beberapa lagi pusat hemodialisis pada tahun 2021 dan tahun 2022.